PUTRAJAYA: Dengan nada berseloroh, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan mana-mana wartawan yang belum mengambil dos penggalak COVID-19 supaya berbuat demikian dengan segera.

Perdana Menteri berkata beliau berharap, petugas media mampu menjadi contoh kepada rakyat Malaysia.

"Cuma ada yang membangkitkan soal vaksin, kita ada banyak vaksin, yang dilupuskan juga banyak kerana sambutan daripada rakyat tidak hangat seperti dos pertama dan kedua.

"Untuk booster, hanya 49 peratus, jadi doa yang masih ada itu enam juta. Jadi, saya syorkan mula dengan wartawan, yang belum ambil dos penggalak untuk ambil ambil kerana jangkitan ini, ikut unjuran dan kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), belum menentu atau belum tamat.

"Jadi, untuk bulan Januari ini semua wartawan dikehendaki mengambil dos penggalak kemudian baru disusuli dengan rakyat yang lain kerana kalau wartawan bagi contoh teladan yang baik, ia akan diikuti oleh rakyat menerusi karangan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di sini, pada Rabu.

Turut serta beberapa menteri Kabinet antaranya Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.