KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mengganggu kebebasan media di negara ini, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan campur tangan dalam urusan media.

"Saya dah kata, media mempunyai kebebasan... kita beri kebebasan sepenuhnya kepada media asalkan laporan itu tepat dan bertanggungjawab.

"Ya, saya sentiasa memberi jaminan kepada kebebasan akhbar di negara kita," katanya selepas hadir pada Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo Dubai 2020 di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Persatuan Kewartawanan Digital Malaysia yang melahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir pihak yang mempertikai pelantikan Farrah Naz Karim sebagai Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) yang baharu.

Presidennya, Nik Suryani Megat Deraman, berkata pihaknya juga menggesa polemik yang mendakwa pelantikan Farrah Naz dibuat atas campur tangan politik dihentikan.

Perdana Menteri bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Semalam, Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaafar menzahirkan kekecewaan terhadap gangguan parti politik kepada entiti media, yang beliau anggap sepatutnya tidak lagi berlaku pada zaman ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri berulang kali menyatakan jaminan bahawa media perlu kekal bebas daripada sebarang gangguan politik.

Johan berkata, beberapa peristiwa, seperti laporan media bahawa Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times, Ahmad Lokman Mansor akan digantikan, dan bekas Ketua Editor The Edge, Azam Aris sedang dikenakan saman fitnah, menunjukkan aspirasi Perdana Menteri itu tidak dihayati sepenuhnya.

Johan berkata, beliau sentiasa menyokong keputusan Ahmad Lokman untuk terus tegas dengan prinsip menolak gangguan politik, sehingga menjadikan NST lebih diterima hari ini.

Semalam juga, New Straits Times Press Berhad (NSTP), anak syarikat Media Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan pelantikan Farrah Naz sebagai Pengarang Kumpulan NST berkuat kuasa 15 September ini.

NSTP memaklumkan Farrah Naz telah berkhidmat di NSTP dengan menyandang pelbagai jawatan sejak tahun 2000 termasuk sebagai pengarang eksekutif, dan terkini beliau bertugas di Rangkaian Televisyen Media Prima sebagai penerbit eksekutif bagi program hal ehwal semasa.