BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada Selasa mengarahkan pihak berkuasa berkaitan mengkaji sijil vaksin COVID-19 untuk pengembara antarabangsa dalam usaha memulihkan industri pelancongannya yang terjejas teruk akibat pandemik itu.

"Thailand akan memantau keberkesanan dan impak vaksin COVID-19 dalam membendung penularan virus itu.

"Saya telah mengarahkan Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan Awam untuk menjalankan kajian supaya kita boleh bersedia dan bekerja selari dengan negara lain," katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Media tempatan melaporkan bahawa pihak berkuasa terbabit akan bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai sijil atau pasport vaksin yang membuktikan bahawa seseorang pelancong telah mendapat vaksinasi lengkap selain persediaan bagi kuarantin kepada mereka yang memasuki Thailand dengan pasport vaksin.

Isnin lalu, Menteri Pelancongan Pipat Ratchakitprakarn berharap pelancong dengan pasport vaksin akan dapat mengurangkan tempoh kuarantin wajib daripada 14 hari kepada tiga hari.

Berbekalkan pasport vaksin, beliau berkata Thailand mampu menyambut ketibaan sekurang-kurangnya 5 juta pelancong ke negara itu pada tahun ini.

Thailand hanya menerima sejumlah 6.7 juta pelancong asing tahun lepas, kebanyakannya pada suku tahun pertama sebelum larangan perjalanan dikenakan pada April berbanding hampir 40 juta ketibaan pada 2019.

Sementara itu, Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Thailand mendedahkan bahawa firma bioteknologi Amerika Syarikat iaitu Moderna Inc akan memfailkan penggunaannya bulan ini.

Setakat ini, FDA Thailand telah meluluskan penggunaan kecemasan dua vaksin COVID-19 iaitu AstraZeneca dan Sinovac dari China.

Sementara itu, Thailand merekodkan 42 kes baharu COVID-19 dan satu kematian semalam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu setakat ini ialah sebanyak 26,073 kes dengan 84 kematian.

Kes kematian itu membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 92 tahun dari wilayah Pathum Thani yang mempunyai masalah kesihatan.

-- BERNAMA