KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Komander (M) Dr Suzanna Razali Chan yang diiktiraf sebagai ikon wanita dunia dalam bidang carilamat oleh Persekutuan Penyelamat Maritim Antarabangsa (IMRF).

Menerusi catatan di Facebook rasminya, Ismail Sabri berkata, pengiktirafan kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia itu menjadi kebanggaan seluruh Keluarga Malaysia.

"Malah (ia turut) menjadi sumber inspirasi dan semangat bagi semua pihak dalam menjaga keselamatan rakyat dan kedaulatan negara," katanya.

Perdana Menteri berkata Dr Suzanna, 40, adalah wanita pertama dari rantau Asia Tenggara yang dipilih menerima anugerah yang amat berprestij itu.

Menerusi IMRF Awards 2021, Suzanna dinobat sebagai ikon bagi kategori itu berdasarkan komitmen, kelayakan dan kepakarannya dalam bidang mencari dan menyelamat maritim (MSAR) malah, beliau juga adalah wanita pertama di rantau Asia Tenggara memenangi anugerah tersebut.

Anugerah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif IMRF, Theresa Crossley secara dalam talian menerusi Majlis Penganugerahan IMRF Awards 2021 yang berlangsung dari London, United Kingdom melalui akaun Youtube rasmi IMRF pada 14 Sept lepas.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memaklumkan, Suzanna dianugerahkan IMRF Awards 2021 setelah berjaya menarik perhatian IMRF menerusi pencapaian dan prestasinya di dalam dan luar negara serta tersenarai dalam finalis Runner Up bagi kategori 'Women in SAR'. - BERNAMA