KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Petronas akan menaikkan dua kategori elaun untuk pelajar di bawah tajaan mereka melibatkan 2,267 orang berkuat kuasa serta merta.

Menurutnya, kenaikan itu melibatkan elaun buku dan peralatan belajar daripada RM1,000 kepada RM1,500 untuk pelajar di Malaysia dan tambahan RM500 untuk pelajar di luar negara.

Tambah beliau, elaun induksi bagi pelajar yang baru menerima Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) 2022 turut dinaikkan RM500.

"Pelajar yang baru menerima penajaan PESP, elaun induksi (Onboarding Allowance) akan dinaikkan daripada RM 4,500 kepada RM 5,000.

"Kenaikan kedua-dua elaun ini mengambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi dan bantuan ini diharap dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa seterusnya memudahkan proses pembelajaran pelajar," katanya.

[TERKINI] PM umum kenaikan elaun pelajar tajaan PETRONAS


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah PESP 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa yang turut dihadiri Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Sejak PESP diwujudkan Petronas telah menaja lebih 37,000 pelajar cemerlang tempatan melibatkan nilai tajaan lebih RM3.5 bilion.

Menurut Perdana Menteri, seramai 600 pelajar ditawarkan belajar di bawah Program PESP pada 2022, melibatkan nilai tajaan lebih RM340 juta yang juga merupakan jumlah tajaan pelajar tertinggi sepanjang pelaksanaan program tersebut.

"Daripada jumlah ini, hampir 80 peratus merupakan golongan kurang berkemampuan.

"Selain melahirkan pelajar yang cemerlang, usaha yang dilaksanakan oleh Petronas ini juga adalah untuk memupuk nilai-nilai keperibadian yang unggul dan dilengkapi dengan sifat-sifat kepemimpinan.

"Program PESP telah melahirkan dan seterusnya menyediakan tenaga kerja profesional, mahir dan berketerampilan dalam kalangan generasi muda khususnya bagi mencapai sasaran Negara Maju Berpendapatan Tinggi seperti mana yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12," ujarnya.

Tambah Ismail Sabri, selain tajaan PESP, Petronas juga menyumbang lebih RM1 bilion bagi pelbagai program lain dalam bidang pendidikan negara, termasuk membina dua buah Maktab Rendah Sains MARA bernilai lebih RM211 juta.

Saya turut dimaklumkan Petronas turut menyokong program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Program (TVET) yang menjadi keutamaan negara bagi menyedikan bakat masa depan.

"Melalui Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA), seramai 11,450 belia di seluruh negara menerima pelbagai bantuan termasuk perkakasan, bantuan pembelajaran dan latihan serta khidmat nasihat," katanya.