KETEREH:Rundingan agihan kerusi antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan bermula minggu depan.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, rundingan itu melibatkan semua parti dalam BN selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Katanya, Muafakat Nasional (MN) tidak bertanding pada PRU15 kerana ia tidak akan didaftarkan sebagai sebuah gabungan parti politik.

"Kita telah buat keputusan UMNO akan masuk PRU15 guna logo BN. Rakan kerjasama PN dan kita bersetuju untuk cepatkan rundingan kerusi antara BN dan PN... kita sedang aturkan minggu depan rundingan kerusi antara PN dan BN boleh mula dilakukan," katanya.

Annuar Musa yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MN minggu lalu yang dihadiri wakil Pas dan UMNO.

Katanya MN diteruskan sebagai sebuah entiti yang tidak perlu didaftarkan kerana UMNO sudah berdaftar dalam BN manakala Pas dalam PN.

Katanya bentuk kerjasama yang diputuskan dalam mesyuarat berkenaan turut bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama BN dan PN.

Pada masa sama, katanya MN diperkukuhkan sebagai satu gerakan massa bagi menjalankan aktiviti muafakat dan kerjasama bukan sahaja parti politik bahkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Karanya, asas berkenaan turut digunakan untuk menubuhkan kerajaan di Perak.