JOHOR BAHRU:Perikatan Nasional (PN) Johor hari ini mengadakan mesyuarat pertama dengan memfokuskan perbincangan kepada hal berkaitan kebajikan rakyat Johor.

Setiausaha Badan Perhubungan PN Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata mesyuarat secara maya itu dipengerusikan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata mesyuarat itu turut disertai Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin yang dilantik sebagai Naib Pengerusi PN Johor.

"Mesyuarat membincangkan soal pembentukan jawatankuasa utama PN peringkat negeri Johor. Selain itu, fokus utama perbincangan lebih tertumpu kepada hal berkaitan kebajikan rakyat negeri Johor.

"Apatah lagi, dalam keadaan negara sedang dilanda COVID-19 dan negeri Johor antara yang terkesan dengan bencana banjir," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr Sahruddin berkata Muhyiddin pada mesyuarat terbabit menegaskan kepada semua pimpinan PN Johor supaya terus fokus dalam membantu rakyat.

Selain itu, Senator Nasir Hashim juga dilantik sebagai Naib Pengerusi PN Johor; Ahmad Al Johari Mohd Yusof (Penolong Setiausaha); Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (Bendahari); Khairul Faizi Ahmad Kamil (Ketua Penerangan); Azlinda Abd Latif (Ketua Wanita) dan Ahmad Nawfal Mahfodz (Ketua Pemuda).

-- BERNAMA