KUALA LUMPUR: Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Persatuan bagi Orang Buta Malaysia (PBOBM) diberi kuasa membuat, mengimport, mengeksport dan mengeluarkan apa-apa salinan format boleh akses daripada karya hak cipta tanpa perlu mendapat kebenaran daripada pemunya hak cipta.

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kebenaran yang berkuat kuasa hari ini itu bagi keperluan orang ketidakupayaan cetakan dan bukan berlandaskan keuntungan.

"Ia berikutan pindaan yang telah dikuatkuasakan, iaitu Seksyen 4,5,6 dan 10 Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 bagi peruntukan melibatkan triti Marrakesh," menurut kenyataan itu.

PNM dan PBOBM adalah badan bertanggungjawab dalam menguruskan dan memberi perkhidmatan dalam menyediakan salinan format boleh akses kepada orang dengan ketidakupayaan cetakan.

Dua organisasi itu juga diwartakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebagai entiti yang diberi kuasa di bawah Perintah Hak Cipta (Entiti Yang Diberi Kuasa) 2022.

Menurut MyIPO, pindaan akta ini akan membolehkan PNM dan PBOBM memberi khidmat terbaik kepada orang dengan ketidakupayaan cetakan di negara ini dalam memperbanyakkan pengeluaran dan pengedaran salinan format boleh akses seperti karya braille, audio, percetakan besar, dan sebagainya.

-- BERNAMA