PASIR PUTEH: Percubaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Selising (DUN) Zulkifli Ali menanam 10 batang pokok kurma jenis Ajwa sejak empat tahun lalu, ternyata berbaloi apabila satu daripada pokok tersebut mula mengeluarkan hasil.

Malah lebih menarik, tempoh buah kurma tersebut dihasilkan sama seperti perkembangan pokok kurma di Madinah, ketika ini.

Bercakap kepada Bernama, Zulkifli, 54, berkata benih pokok kurma itu dibeli dari Rantau Panjang sebelum disemai sebagai hiasan di halaman rumahnya.

"Pada tahun pertama dan kedua pokok ada mengeluarkan buah namun kesemuanya gugur. Tahun ini hasilnya lebih baik apabila lapan tandan daripada sebatang pokok kurma sedang berbuah dan sudah hampir boleh dituai.

"Kali ini juga saya mendapati proses pengeluaran buahnya selaras dengan perkembangan pokok kurma di Madinah, yang juga sedang mengeluarkan buah dan hampir masak," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Alor Hijau, hari ini.



Tinjauan Bernama mendapati pokok kurma berbuah lebat itu turut menarik perhatian penduduk setempat.

Bercerita lanjut, Zulkifli berkata berdasarkan pengalamannya beliau berpendapat pokok kurma boleh dikomersialkan di negara ini jika diberi penjagaan rapi seperti pembajaan yang cukup.

"Cuaca panas terik sangat sesuai bagi membantu proses mengeluarkan buah dan mengekalkan kualiti asalnya yang rangup dan manis.

"Hasil yang diperolehi tahun ini turut menyangkal pendapat bahawa pokok kurma tidak sesuai ditanam di negara ini," katanya.

Zulkifli berkata, apabila boleh dituai nanti, beliau bercadang untuk sedekahkan buah kurma tersebut kepada penduduk setempat.

"Selebihnya, saya akan menyemainya untuk dijadikan benih bagi memperluaskan tanaman itu, terutama kepada penduduk di sekitar," katanya.

-- BERNAMA