NIBONG TEBAL: Suspek rogol dan bunuh seorang kerani wanita pada Sabtu dibawa ke lokasi kejadian di  sebuah taman perumahan di Nibong Tebal, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Suprintendan Lee Chong Chern berkata suspek yang ditahan semalam  dibawa ke rumah mangsa sebelum beredar kira kira jam 1.40 tengah hari tadi.

Katanya, tindakan membawa suspek ke lokasi berkenaan adalah bagi mendapatkan maklumat lanjut terhadap perbuatannya itu.

Sepasukan polis forensik negeri juga berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

Suspek berusia 29 tahun diiringi dua anggota selain tangan digari dan memakai baju lokap dan penutup muka.

BACA: Mayat mangsa rogol, liwat disembunyi bawah katil

Dalam kejadian pada Sabtu, seorang kerani wanita  berusia 40 tahun ditemui maut dirumahnya dipercayai dirogol dan diliwat sebelum mayatnya ditemui disembunyikan di bawah katil dalam keadaan tidak berbaju.

Suspek dipercayai menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa melalui tingkap di bahagian belakang rumah mangsa.

Suspek yang melihat mangsa sedang tidur di atas katil dikatakan bertindak merogol dan meliwat mangsa .

Mangsa menjerit dan melawan sebelum suspek menyumbat seluar dalam mangsa ke dalam mulut dan menutup mulutnya dengan tangan.

Suspek kemudiannya mendapati mangsa tidak bergerak dan sudah tidak bernyawa bertindak menyembunyikan mangsa di bawah katil di bilik ditingkat bawah rumah berkenaan.