TAIPING: Polis Taiping berjaya memberkas seorang lelaki yang dipercayai tokan dadah di hadapan sebuah rumah di Kampung Jana Baru, Kamunting, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, polis turut menjumpai tujuh paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine, anggaran berat 100.92 gram, bernilai kira-kira RM10,000.

Menurutnya, hasil siasatan awal, suspek yang berusia 33 tahun itu didapati mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan ujian awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Katanya, suspek ditahan sepasukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Taiping (BSJND) kira-kira jam 7.15 malam.

“Suspek telah bertindak agresif untuk melarikan diri dan berlaku bergelutan sebelum berjaya diberkas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR bernilai kira-kira RM12,000 di samping beberapa barangan lain seperti alat penimbang digital, pemetik api dan gunting kecil.

“Suspek dan barang rampasan dibawa balik ke pejabat BSJND Taiping untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.