ALOR SETAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan pencarian baki 130 tahanan warga Rohingya yang masih bebas selepas insiden lolos dari Depot Imigresen Sementara Relau, pada Rabu.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad memaklumkan kesemua mereka terdiri daripada 99 lelaki dewasa, 21 perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki, dan lima kanak-kanak perempuan.

Tambahnya, setakat awal pagi tadi seramai 398 tahanan telah dijumpai semula, termasuk enam yang maut ketika melintas lebuh raya.

Dua tahanan pula mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap dan Hospital Seberang Jaya.

Beliau dalam pada itu berkata tahanan yang tidak melarikan diri serta yang dijumpai semula telah dipindahkan ke empat depot tahanan berasingan.

"Seramai 144 tahanan telah dipindahkan ke Depot Semenyih, Selangor melibatkan 83 wanita, 57 kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan, manakala yang dipindahkan ke Depot Tahanan Langkap melibatkan 100 tahanan lelaki.

"Seramai 104 lagi tahanan lelaki dipindahkan ke Depot Machap Umboo, manakala baki 68 tahanan lelaki dan 32 kanak-kanak lelaki dipindahkan Depot Tahanan Bukit Jalil."

Pada Rabu, Wan Hassan memaklumkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Pulau Pinang masing-masing telah menubuhkan enam 'Pasukan Cantas' bagi memburu baki 171 tahanan yang masih bebas.

Beliau dalam pada itu menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan melaporkan kepada polis jika terjumpa saki-baki tahanan imigresen yang masih bebas.