SHAH ALAM: Polis memburu empat individu bertopi keledar bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki tempatan maut dengan beberapa kesan tembakan di bahagian kepala berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, Kuala Langat, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata kesemua lelaki itu diburu berdasarkan maklumat daripada saksi bahawa terdapat empat individu bertopi keledar dengan pelindung mata atau visor gelap berada di tempat kejadian.

"Kita sedang giat mengesan mereka dengan motif kejadian masih dalam siasatan. Setakat ini, tujuh individu telah diambil keterangan dan siasatan dilakukan dalam segenap aspek.

"Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Media semalam melaporkan seorang lelaki maut dengan empat kesan tembakan di bahagian kepala, dalam kejadian berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, Kuala Langat, pada 11.30 malam 18 Mei lalu.

Ahmad Ridhwan berkata mangsa berusia 39 tahun yang memiliki 13 rekod jenayah lampau itu disahkan maut di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala, dan unit forensik turut menjumpai lima kelongsong peluru di sekitar kawasan kejadian.

-- BERNAMA