JOHOR BAHRU: Polis Johor kini menggunakan kamera pintar yang dikenali sebagai ICOPS bagi mengesan pesalah trafik di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, empat kamera tersebut sudah dibekalkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor sejak awal tahun ini.

"Empat kamera ICOPS yang kini digunakan di tiga daerah iaitu Kota Tinggi, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri, manakala satu lagi kamera digunakan di lebuh raya.

"Penggunaan kamera ini dapat mengesan kenderaan yang mempunyai saman tertunggak, waran tangkap, nombor pendaftaran palsu dan rekod jenayah kenderaan curi.

"Data kenderaan akan diperoleh melalui saringan nombor pendaftaran menerusi ICOPS yang kemudian dihubungkan dengan pangkalan data ICOPS JSPT," katanya selepas Op Khas Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Skudai di sini pada Ahad.

Operasi bersepadu bermula jam 8.30 pagi itu melibatkan 51 anggota terdiri daripada Unit Peronda Bukit Aman, Jabatan Alam Sekitar ( JAS) Johor, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Sebanyak 93 saman telah dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 152 kenderaan perdagangan dalam tempoh tiga jam operasi dijalankan.

Menurut Ayob Khan, Op Bersepadu Kenderaan Perdagangan terbabit dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang awam berhubung isu kenderaan perdagangan yang masih ingkar patuh undang-undang.

"Sebanyak 150 operasi ke atas kenderaan perdagangan telah dijalankan secara menyeluruh melibatkan kontinjen Johor bagi tempoh Januari hingga September.

"Hasil operasi tersebut, sebanyak 208 buah kenderaan perdagangan telah disita dan 341 saman POL 257 dikeluarkan dengan 208 kes di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat ( APAD) 2010.

"Operasi bersepadu kenderaan perdagangan akan diteruskan dengan konsep penguatkuasaan penuh oleh JSPT bagi memastikan semua pemandu mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.