JOHOR BAHRU: Hanya dengan caj RM300 hingga RM650, sesiapa sahaja boleh mendapatkan sijil digital vaksin palsu yang dijual satu sindiket beroperasi di sebuah klinik swasta di Johor Bahru.

Namun, kegiatan sindiket yang dilakukan pekerja klinik itu sendiri membawa padah apabila mereka berjaya diberkas polis sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tiga pekerja klinik terbabit dan lima orang awam berusia 24 hingga 42 tahun berjaya ditahan selepas dipercayai menjual dan membeli sijil digital vaksin tidak sah itu tanpa menerima sebarang suntikan vaksin.

Beliau berkata, hasil risikan, kegiatan sindiket itu sudah dibuat sejak hampir sebulan yang lalu dengan menyasarkan mereka yang tidak mahu divaksin.

“Modus operandi atau cara mereka ini adalah dengan menguar-uarkan kepada sesiapa yang tak ingin mengambil vaksin.

“Itulah sasaran sindiket ini… dengan mencari mereka yang tak ingin divaksin tapi hendak sijil vaksin untuk digunakan seperti orang yang telah divaksin. Ini adalah amat berbahaya dan pihak PDRM Johor sekerasnya akan mengambil tindakan cekap terhadap mereka.

“Mereka ini, tiga orang mereka telah direman iaitu pekerja dan yang boleh akses MySejahtera . Dia masukkan sijil vaksin untuk mereka yang tak divaksinkan ini dan kemas kini dalam MySejahtera,” jelas Kamarul Zaman.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Rabu.

Menurut Kamarul Zaman, sehingga kini, seramai 22 lagi pembeli sijil digital vaksin yang tidak sah, berusia antara 19 hingga 69 tahun masih diburu polis.

Katanya, turut diburu seorang lelaki dipercayai dalang utama sindiket berkenaan.

Turut dirampas daripada sindiket itu adalah komputer riba dan lapan telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk mendaftarkan butiran penerima vaksin ke dalam MySejahtera.

Kamarul Zaman mengingatkan mereka yang diburu atau yang ada membeli sijil digital vaksin daripada sindiket berkenaan supaya menyerah diri untuk membantu siasatan.

Katanya, pihak polis memandang serius kegiatan terbabit dan akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang menjual dan membeli sijil digital vaksin secara tidak sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.