Polis Kelantan rampas 16 pucuk pistol sepanjang tempoh Januari-November 2023

Bernama
November 7, 2023 09:36 MYT
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun (tengah) bersama pegawai menunjukkan pistol dan peluru yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Pasir Mas dan Tanah Merah pada sidang media di IPK Kelantan hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Polis Kelantan telah merampas sejumlah 16 pucuk pistol pelbagai jenis sepanjang Januari hingga November tahun ini, yang menyaksikan peningkatan berbanding sembilan bagi tempoh sama pada 2022.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata daripada 16 kes itu, 14 telah didakwa di mahkamah.
Beliau berkata kebanyakan senjata api yang dirampas digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah serta jenayah dan pihaknya akan memberi lebih tumpuan kepada penguatkuasaan khususnya di kawasan sempadan selain mencari kaedah terbaik bagi menangani perkara itu termasuk mengadakan serbuan dan sekatan jalan raya.
"Kita akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa di Thailand menerusi pertukaran maklumat. Kawalan sempadan akan kita perketatkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki turut meminta agensi penguatkuasaan di sempadan agar memberi perhatian kepada aktiviti penyeludupan senjata api susulan hasil risikan dan maklumat mendapati ia dibeli dari negara jiran serta dibawa masuk melalui pangkalan haram.
-- BERNAMA
#Polis Kelantan #rampas pistol #jenayah #senjata api