BUTTERWORTH: Kehadiran luar jangka orang ramai ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi di sini, menyebabkan berlaku kesesakan sehingga ada yang dikesan mengabaikan penjarakan fizikal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, insiden itu berlaku semasa Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) membabitkan golongan penjaja.

Noorzainy berkata sebaik mendapat aduan, beliau telah mengarahkan anggota dari Balai Polis Butterworth bersama polis bantuan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)  mengawal kesesakan berkenaan.

"Tindakan telah diambil oleh anggota bertugas dan kita sudah memberi arahan supaya penjaja beratur dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan patuh pada  SOP yang ditetapkan.

"Difahamkan program ini akan berlangsung sehingga esok dan kita menasihati penjaja yang terlibat dapat merancang kehadiran terlebih dahulu supaya dapat mengelak kesesakan.

"Kita harap mereka boleh mematuhi arahan yang dikeluarkan petugas-petugas di PPV dan kita tidak mahu kejadian seumpama ini berulang," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Terdahulu tular di media sosial kesesakan yang berlaku di PPV berkenaan apabila terdapat ramai penjaja beratur untuk mendapat suntikan vaksin dalam program berkenaan.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, polis menasihati orang awam supaya tidak lagi menularkan kejadian yang boleh menimbulkan kegusaran dan kebimbangan masyarakat setempat.