KUANTAN: Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan bagi menyelamatkan diri selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh pemandu kereta Proton Perdana di Lorong Air Putih 130 di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata kejadian berlaku ketika dua anggota polis sedang melaksanakan Op Sarang di Jalan Air Putih, di sini sekitar 12 tengah malam dan cuba menahan kenderaan suspek yang dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, setelah menyedari kehadiran polis, pemandu tersebut memecut kenderaan dan memasuki jalan mati di Lorong Air Putih 130 di sini.

"Nekad untuk melepaskan diri, pemandu kenderaan itu telah mengundur dan merempuh kenderaan pasukan polis beberapa kali sehingga berjaya meloloskan diri.

"Anggota polis telah melepaskan dua das tembakan ke udara sebagai amaran dan mengarahkan suspek memberhentikan kenderaannya, tetapi tidak diendahkan dan memaksa anggota tersebut melepaskan tiga lagi tembakan pada bahagian tayar kiri hadapan kereta itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Namun, suspek berjaya melarikan diri dan kenderaannya telah ditinggalkan kira-kira 400 meter dari tempat kejadian malah suspek juga gagal dikesan, katanya.

Akibat kejadian itu, kenderaan pasukan polis telah mengalami kerosakan kemek di bahagian hadapan hingga ke belakang akibat dirempuh manakala anggota polis tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambah Wan Zahari, hasil siasatan dan pemeriksaan telah menjumpai beberapa dokumen dalam kereta itu atas nama Shaizul Aziram, 46, beralamat terakhir di Taman Seri Muda,Shah Alam, Selangor dan Abdullah Fahmi bin Salleh @ Muhammad,36, beralamat di Kampung Genting, Tumpat,Kelantan.

Susulan itu, beliau berkata kedua-dua individu berkenaan dikehendaki tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan (IPD) atau menghubungi hotline PDRM IPD Kuantan di talian 09-5652222 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA