SHAH ALAM: Polis masih lagi berusaha mengesan kontraktor yang pernah melakukan kerja pengubahsuaian di kediaman bekas personaliti TV3, Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, setakat ini, kontraktor itu belum dapat dikesan dan tiada sebarang petunjuk baharu.

Difahamkan kediaman Zalina di Seksyen 3, Shah Alam, sebelum ini menjalani proses pengubahsuaian dipercayai untuk dijadikan pejabat dan terhenti pada tahun lalu.

Tinjauan mendapati pembinaan pagar di luar rumah berkenaan kelihatan belum siap.

[INFOGRAFIK] Kronologi kehilangan Zalina Azman

BACA: Keluarga risau keberadaan Zalina Azman - Ras Adiba

BACA: Telefon bimbit Zalina Azman kali terakhir dikesan aktif pada 20 Nov

Dalam pada itu,  Mohd Iqbal berkata, polis telah mempeluaskan pencarian Zalina.

"Kita telah memperluaskan radar pencarian Zalina, di luar Lembah Klang. Pihak kami juga mohon semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai untuk membantu dalam skop pencarian Zalina," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Katanya, polis juga mengalu-alukan bantuan orang ramai untuk mencari bekas pembaca berita TV3 itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan Zalina diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, Sarjan Sabturia di talian 016-337 5269 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini tular di media sosial mendakwa bekas pengacara program Money Matters itu ditemui di lokasi berbeza sekitar Shah Alam seperti Seksyen 3, Seksyen 9.

Antara dakwaan tular dalam media sosial ialah seorang wanita mirip Zalina pernah dilihat mengunjungi sebuah restoran seolah-olah berada dalam keadaan tidak sihat dan menggigil ketakutan.

Satu lagi dakwaan tular ialah kelibat wanita seperti Zalina pernah dilihat di sekitar kawasan sebuah restoran makanan segera dengan membawa beg makanan dan pakaian, selain memakai kasut sukan dan hanya berjalan kaki, serta berkeadaan sangat kurus.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati wanita yang dimaksudkan itu bukan Zalina sebaliknya adalah seorang gelandangan.

Kes Zalina | Tiada petunjuk baharu

Zalina dilaporkan hilang selepas anaknya, Mikhael Norman, 33, gagal menghubunginya sejak 24 November lalu bagi memaklumkan bahawa bapa personaliti televisyen itu dimasukkan ke hospital.

Kali terakhir telefon bimbit bekas pembaca berita itu dikesan aktif adalah pada 20 November tahun lalu, empat hari sebelum anak lelakinya cuba membuat panggilan kepada wanita itu.