IPOH: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Desa Pakatan, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, Anis Azizah Rasidi, 15, yang beralamat di No 1, Laluan Pengkalan Timur 7, Taman Desa Pakatan, dilihat kali terakhir pada 3 November lalu.

Difahamkan remaja perempuan itu baru dua minggu berada di Malaysia, memandangkan sebelum ini dia membesar di Medan, Indonesia.

"Dikatakan sebelum ini dia tinggal bersama-sama neneknya di Medan, sebelum datang ke sini dan tinggal bersama ibunya.

"Anis Azizah dilihat kali terakhir di rumah ibunya di Taman Desa Pakatan. Dia keluar dari rumah pada 3 November lalu.

"Ibu mangsa buat laporan polis pada 4 November, difahamkan semasa keluar dari rumah dia ada membawa beg pakaian. Namun tidak diketahui pakaian apa yang dia pakai waktu itu.

"Kehilangannya tidak disedari memandangkan ibunya bekerja dan adik beradik lain bersekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, Anis Azizah bertubuh kurus dan mempunyai warna kulit cerah.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan penolong pegawai penyiasat, Sarjan Rafida Abd Rashid di talian 013-7312477, atau Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran.