HULU SELANGOR: Polis meminta individu terlibat dalam kemalangan tular dipercayai berlaku di Kilometer (KM) 5.7 Rawang Bypass sekitar jam 6.15 petang pada Jumaat supaya tampil membuat laporan.

Klip video berdurasi 30 saat memaparkan sebuah Perodua Axia rosak teruk manakala seorang wanita dipercayai pemandu kereta tertiarap di bahu jalan sementara tiga kanak-kanak dipercayai anak mangsa berjaya diselamatkan orang awam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, pihaknya mengesan rakaman video kejadian terbabit tular selepas dimuat naik seorang pengguna Facebook.

"Kejadian dipercayai berlaku melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang wanita tempatan berusia 33 tahun.

"Bagaimanapun hasil semakan mendapati tiada saksi atau waris yang tampil untuk membuat laporan berhubung kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Suffian berkata, buat masa ini tidak dapat dipastikan keadaan mangsa dan kanak-kanak terbabit.

Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan berkenaan supaya tampil membuat laporan di balai terdekat. -Sinar Harian