JOHOR BAHRU: Polis Johor menafikan berlakunya kejadian penculikan, pembunuhan dan pengambilan organ dalaman kanak- kanak seperti audio yang tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil semakan mendapati audio yang ditularkan itu merupakan audio lama yang tidak benar.

Katanya, audio berkenaan juga telah ditularkan pada tahun 2019 mendakwa berlaku kejadian penculikan, pembunuhan serta pengambilan organ dalaman kanak-kanak Kahang, Mersing, Kluang dan Masai.

"Polis Johor mengesahkan kejadian tersebut tidak pernah berlaku. Penyebaran audio itu dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.

"Perbuatan menyebar dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kamarul Zaman berkata, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dakwaan yang diperoleh daripada sumber yang tidak sah dan menggunakan maklumat palsu.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.