GEORGE TOWN:Polis Pulau Pinang sedang menjejaki seorang lelaki dipercayai pesakit COVID-19 yang melarikan diri daripada Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.

Menurut sumber, lelaki berusia 23 tahun yang sedang menerima rawatan di hospital tersebut dikatakan tiada di wadnya pada jam 3.20 petang Ahad.

"Kali terakhir lelaki itu dilihat memakai baju dan seluar warna putih telah meninggalkan gelang pengawasan berwarna merah jambu di atas katilnya," kata sumber.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan pihaknya kini giat mengesan lelaki tersebut.

"Kita sedang giat mengesan pesakit berkenaan sebaik menerima laporan daripada pihak hospital," katanya lagi.