KUALA LUMPUR: Polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan perkhidmatan kurier setelah menahan 13 individu warga tempatan dan merampas dadah jenis syabu dianggarkan seberat 285.47 kilogram bernilai RM10.2 juta, pada 29 dan 30 Nov lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata kesemua suspek yang terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 21 hingga 53 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara pada dua hari berkenaan.

Beliau berkata kesemua suspek juga disyaki anggota dua sindiket yang berbeza dan dipercayai menjalankan aktiviti menyeludup dadah menggunakan perkhidmatan kurier ke Sabah dan Sarawak serta negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Australia.

"Hasil risikan polis, mendapati mereka menggunakan perkhidmatan kurier di Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Kuching, di sini.

"Mereka membungkus dadah ini dalam bungkusan teh dan juga diletakkan di dalam 'hood dapur' untuk dihantar menggunakan perkhidmatan kurier," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur, di sini.

Menurutnya seramai 11 daripada suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah manakala empat daripada mereka didapati positif dadah jenis syabu.

Razarudin juga berkata pihaknya menyita pelbagai aset daripada anggota sindiket berkenaan yang dianggarkan bernilai RM194,200 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Antara aset yang disita merupakan tiga kereta, tujuh utas barang kemas dan seutas jam tangan. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan bernilai RM10.46 juta," katanya.

Beliau berkata pihaknya masih meneruskan siasatan dan akan membuat lebih banyak sitaan termasuk akaun bank dan rumah.

Menurut Razarudin sindiket itu mula aktif sejak enam bulan lepas dan jumlah dadah yang dirampas daripada sindiket berkenaan mampu memenuhi keperluan 1.4 juta penagih dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua mereka direman selama 12 hari bermula 30 Nov lepas bagi membantu siasatan," katanya.

-- BERNAMA