Polis rampas dadah bernilai lebih RM44 juta, hapus bekalan untuk 25.5 juta penagih

Umavathi Ramayah
Julai 9, 2021 05:31 MYT
Arjunaidi Mohamed berkata, jumlah rampasan dadah itu boleh digunakan 25.5 juta penagih dadah. - Gambar IPK Selangor
SHAH ALAM: Polis berjaya membongkar tiga stor menyimpan dadah dengan penahanan 14 individu serta merampas 764 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM44 juta dalam 10 serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, pada, 5 Julai lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, jumlah rampasan dadah itu boleh digunakan oleh 25.5 juta penagih dadah.
Menurutnya, stor itu didapati menyimpan 431 bungkusan dadah syabu, 863 bungkus heroin dan 2,000 biji Eramin 5 dengan anggaran berat keseluruhan 764.34 kg.
Beliau memberitahu, sindiket yang beroperasi sejak tahun lalu itu dipercayai membawa masuk bekalan dadah ke dalam negara dari negara jiran menggunakan lori buah-buahan.
"Bekalan itu akan disorok dan ditutup dengan buah-buahan sebelum dipindahkan ke dalam rumah yang dijadikan sebagai stor penyimpanan dadah," katanya dalam sidang media yang diadakan secara dalam talian di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, kesemua yang ditahan itu termasuk 10 lelaki warga tempatan, tiga wanita tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 20 dan 70 tahun.
Hasil ujian kencing katanya, kesemua mereka negatif dadah.
"Bagaiaapun, semakan mendapati enam daripada suspek itu mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah termasuk membunuh dan cubaan membunuh," tambahnya.
Dalam pada itu katanya, polis turut menyita tujuh buah kenderaan, wang tunai dan barangan kemas yang kesemuanya bernilai lebih RM477,700.
Beliau memberitahu, kes itu disiasat mengikut bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati, jika disabit dengan kesalahan.
Tambahnya lagi, kesemua mereka ditahan reman tujuh hari bermula 6 Julai lalu.
#warga asing #sindiket #Syabu #IPK Selangor #arjunaidi mohamed #Polis Diraja Malaysia #Ketua Polis Negara #Eramin 5 #stor dadah #sindiket tumpas #Akta Dadah Berbahaya