SEPANG: Polis merampas satu bahan larangan berupa ubat gigi daun ganja yang dialamatkan kepada dua ahli politik kerajaan di sebuah syarikat penghantaran di Pulau Meranti Dengkil.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, pihaknya menerima laporan itu daripada kakitangan kaunter pertanyaan di sebuah Kementerian memaklumkan menerima satu panggilan jam 9.10 pagi dari sebuah syarikat penghantaran pada Jumaat.

"Susulan itu, polis telah pergi ke hab kurier berkenaan dan merampas barang kes iaitu tiub ubat gigi bercorak daun ganja yang tertera tulisan ‘Happy Green’ yang ditemui dalam satu bungkusan kotak berwarna coklat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Wan Kamarul berkata, kotak itu memuatkan satu tiub ubat gigi berpenutup warna hijau dan putih bercorak daun ganja tertera tulisan 'Happy Green', mengandungi pes putih kehijauan disyaki ubat gigi estrak daun ganja seberat 80 gram.

Katanya, hasil siasatan mendapati barangan terbabit dibeli oleh pengirim melalui platform e-dagang secara dalam talian dari Indonesia.

Tambahnya siasatan mendapati barang yang dirampas tidak mempunyai kaitan dengan penerima dan siasatan lanjut akan diteruskan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.