KUALA LUMPUR: Polis telah merekod keterangan enam individu pada Isnin bagi membantu siasatan berhubung perarakan sekumpulan individu di ibu negara baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua individu berusia 28 hingga 42 tahun itu terdiri daripada lima wanita dan seorang lelaki.

"Mereka telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi semalam (Isnin) untuk direkod keterangan mengenai perarakan terbabit.

"Kesemua individu itu melibatkan dua penganjur serta empat peserta," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambahnya, ada beberapa lagi individu akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan.

Sebelum ini, satu perarakan yang dipercayai berunsur agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berlangsung di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka pada 12 Mac lalu.

Berdasarkan pemerhatian kira-kira 150 orang terdiri daripada aktivis hak asasi, mahasiswa dan ahli parti politik menyertai perhimpunan terbabit.

Mereka memegang plakad di antaranya 'Imagine If Men Are As Disgusted With Rape As With Periods, Child Not Pride,Trans Women Are Woman, Police Your Behaviour Not My Body' dan lain-lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pihaknya menerima laporan serta maklum balas daripada orang ramai berhubung perkara itu dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan menyiasat dengan kerjasama polis. - Sinar Harian