KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah memburu seorang lelaki berpangkat Datuk selepas dipercayai terlibat dengan penipuan projek naik taraf jalan raya yang tidak wujud bernilai RM1.93 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, individu itu yang dikenali sebagai Datuk Yusri Yusuf itu didakwa menawarkan khidmat mendapatkan kelulusan projek naik taraf jalan raya di beberapa daerah seluruh Sabah kepada mangsa dengan nilai bayaran di antara RM30,000 hingga RM650,000.

“Modus operandi lelaki itu ialah mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan antara RM30,000 hingga RM650,000 bagi sesuatu projek.

“Semua mangsa yang terpedaya kemudiannya membuat transaksi pembayaran deposit kepada suspek sehingga kerugian keseluruhan mencecah RM1.93 juta," katanya dalam satu kenyataan media.

Pada masa yang sama Idris menasihatkan agar orang awam yang mempunyai maklumat tampil bagi membantu pihak polis menjejaki suspek.

"Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berhubung suspek diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Tilmanshah Wasli ditalian 0165785962 atau 088-529761 bagi membantu siasatan polis," tambah beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.