IPOH: Polis sedang mengesan individu yang bermain mercun di balkoni sebuah pangsapuri di Meru, di sini, seperti tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kanan IPD Ipoh, ASP Fadli Ahmad di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan.

Menurutnya, semakan pihaknya turut mendapati bahawa satu laporan polis telah diterima mengenai kejadian tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan (mudarat awam) dan Seksyen 4 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1966 (membakat mercun sehingga mendatangkan mudarat awam),” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Terdahulu, pihak polis terkesan satu hantaran video di Twitter milik pengguna bernama ‘Megatz’ mengenai perbuatan itu yang telah menarik perhatian masyarakat umum.

Berdasarkan hantaran video tersebut, kejadian bermain mercun itu dikatakan berlaku di tingkat 20, Residensi PR1MA Meru di sini.

Pemilik Twitter berkenaan meminta pihak polis mengambil perhatian dan kejadian dikatakan berlaku dua malam berturut-turut.

Yahaya menasihatkan orang ramai agar sentiasa bertimbang rasa, bertanggungjawab dan berwaspada semasa bermain mercun sempena musim perayaan ini, demi menjamin keselamatan diri, mahupun keselamatan nyawa serta harta benda orang lain.