GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menyelamatkan dua beradik masing-masing berusia tiga dan lima tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu dan nenek saudaranya hari ini.

Kanak-kanak tersebut diselamatkan sepasukan polis yang melakukan serbuan di rumah flat di Air Itam, Pulau Pinang pada jam 11.15 pagi tadi.

Susulan itu, dua wanita tempatan berusia 28 dan 52 tahun itu masing-masing ibu dan nenek saudara kepada kanak-kanak berkenaan ditahan polis bagi membantu siasatan kes terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima laporan polis daripada seorang lelaki tempatan yang melihat satu hantaran di Facebook (FB) yang menunjukkan foto dua kanak-kanak sedang makan di restoran dengan kesan kecederaan di muka.

Lelaki itu yang mengesyaki kanak-kanak itu menjadi mangsa dera, telah tampil membuat laporan di Balai Polis Air Itam.

"Bertindak atas maklumat, serbuan dilakukan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sebuah rumah flat di kawasan Air Itam pada jam 11.15 pagi tadi.

"Dalam serbuan itu, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan perempuan berusia lima tahun diselamatkan manakala dua wanita terbabit ditahan," katanya hari ini.

Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa menemukan kesan luka dan lebam di bahagian muka serta badan disyaki akibat penderaan.

Soffian berkata, kedua-dua kanak-kanak itu dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Soffian meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Timur Laut di talian 04-2181822 atau tampil ke balai polis berhampiran.