SHAH ALAM: Selepas hampir 10 bulan, seorang gadis bawah umur yang dilarikan kekasihnya diselamatkan polis dalam serbuan di sebuah stor besi buruk di Jalan Bukit Perah, Kampung Olak Lempit, Banting, dekat sini pada Isnin. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sejak dilarikan pada Julai lalu, mangsa dipercayai tinggal bersama suspek di stor berkenaan.

Menurutnya, hasil maklumat risikan, polis berjaya mengesan dan menahan suspek di sebuah kampung di Banting sebelum berjaya menemui mangsa di sebuah kampung di daerah sama.

"Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai suspek mengesyaki mangsa mempunyai teman lelaki lain.

"Mangsa yang bercinta dengan suspek sejak 2014  dipercayai  mengikut suspek, namun kes disiasat mengikut Seksyen 52 Akta Kanak-kanak 2001 kerana mangsa (masih bawah umur) berusia 17 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fakhrudin memberitahu, ketika ditemui mangsa dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Katanya, polis sedang menyiasat sebarang perlakuan seks ke atas mangsa.

Menurut beliau, pembantu kedai besi buruk yang berusia 23 tahun itu ditahan reman dua hari bermula Selasa.

Beliau memberitahu, semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau.

Ujar beliau, polis juga menyiasat suspek mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

"Suspek telah mengugut pengadu (ibu mangsa) bahawa mangsa hanya akan pulang ke rumah selepas pengadu mati," tambahnya.