ALOR SETAR: Polis Kedah sedang menyiasat bagaimana 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya, memasuki Malaysia melalui perairan negara pada jarak 1.68 Batu Nautika dari Pulau Lima, Langkawi semalam.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya terpaksa menggunakan warga Rohingya yang berada di negara ini untuk berkomunikasi kerana kesemua pelarian yang baru mendarat itu tidak fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

Beliau berkata, kesemua tahanan terdiri daripada 17 lelaki, 9 perempuan dan empat kanak-kanak itu kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi.

Katanya, siasatan awal seorang daripada PATI terbabit mendakwa bot yang dinaiki mereka kehabisan minyak.

“Bila tanya dia (PATI) kata bukan nak masuk ke Malaysia tetapi alasan dia kata kehabisan minyak dan sebagainya terpaksa mendarat ataupun merapat ke perairan Malaysia,” kata Wan Hassan ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, arahan telah dikeluarkan supaya kawalan keselamatan sempadan diketatkan kerana tidak menolak kemungkinan akan ada lagi cubaan etnik Rohingya terbabit menunggu masa untuk menyelinap masuk ke negara ini.

Ini kerana, kata beliau, pelarian berkenaan akan mengambil kesempatan sambutan Aidilfitri kerana menganggap anggota keselamatan tidak berkawal.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi semalam, Polis Marin Langkawi menerima laporan terdapat bot membawa sekumpulan 30 PATI Rohingya belayar masuk perairan negara pada jarak 1.68 Batu Nautika dari Pulau Lima.

Kesemua PATI itu bersama bot telah ditahan dan dibawa balik ke Jeti Pangkalan Polis Mari Bukit Malut sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 63 Akta Imigresen 1963.