KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kenyataan Gerakan Media Merdeka (Geramm) yang mendakwa tiga petugas media dikasari anggota Unit Tindakan Khas di sebuah majlis di Tanah Merah, Kelantan, semalam.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan hari ini mengesahkan tiada anggota Unit Tindakan Khas terlibat dalam kes berkenaan.

"Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam kejadian tersebut," katanya.

BACA: Geramm kesal petugas media dikasari

Beliau berkata PDRM akan mengambil tindakan tegas sekiranya siasatan mengesahkan terdapat sebarang bentuk pelanggaran kod etika dan tatasusila oleh mana-mana anggota keselamatan semasa menjalankan penugasan di majlis tersebut.

Katanya pihak polis sentiasa menghargai pengamal media dan menghormati peranan mereka dalam menyebar informasi kepada masyarakat, khususnya bagi membantu memerangi jenayah.

Menurutnya, hubungan erat pengamal media dan PDRM selama ini akan dikekalkan agar masyarakat mendapat maklumat yang tepat melalui sumber sahih.

Sebelum ini dilaporkan Geramm mendakwa tiga petugas media dikasari anggota pasukan keselamatan dalam majlis pelancaran satu parti politik di Tanah Merah, Kelantan, semalam.

-- BERNAMA