KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka satu kertas siasatan berhubung penjualan sijil vaksinasi digital palsu di media sosial.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

"PDRM telah menerima satu laporan polis berkenaan penjualan sijil digital vaksin palsu yang mana satu artikel telah dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook yang menyatakan bahawa 'sudah mula dijual di atas talian'," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau pada masa sama menyeru orang ramai supaya tidak terlibat dalam kegiatan tidak bermoral seperti memalsu dan menjual sijil vaksinasi berkenaan. 

"Orang ramai turut diminta agar melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan aktiviti ini," tambah beliau.