Polis sedang menyiasat kejadian sebuah kotak yang tertulis perkataan bom berhampiran bilik gerakan parti DAP kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Kejadian tersebut berlaku di khemah bilik gerakan DAP di pekan Jinjang Utara ketika seorang pekerja parti datang untuk menjalankan kerja-kerja parti.

Pekerja itu terkejut melihat kotak tersebut dan setelah pemeriksaan dibuat, sebuah tin berisi serbuk hitam yang dipercayai bahan letupan dan beberapa wayar telah ditemui.

Laporan polis juga telah dibuat kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketua polis daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata setelah mendapat laporan, pasukan polis dikejar ke tempat kejadian dan menghubungi unit pemusnah bom dan membuat pemeriksaan teliti di tempat kejadian dan sekitar kawasan.

“Dalam kerja-kerja pemeriksaan teliti, kita menemui kotak yang mengandungi satu tin yang diletakkan bahan yang boleh diletupkan. Walaubagaimanapun kita telah berjaya mematikannya… tidak ada letupan berlaku,” kata Zakaria.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan kejadian ini dan beliau berkata perkara ini amat serius kerana ia boleh menakutkan orang ramai untuk membuang undi.

Beliau juga diminta mengulas kejadian tersebut.

Katanya, penemuan itu akan diserahkan kepada pakar untuk disemak terlebih dahulu sebelum diberitahu samada benda yang dijumpai itu adalah bahan letupan atau tidak.

“Ini bukan perkara main-main… tambah dalam keadaan sekarang dimana kita akan pergi mengundi tidak lama lagi.

“Perkara seperti ini boleh menakutkan orang ramai… jadi mesti dijalankan siasatan terperinci terhadap penemuan ini. (Apabila) dapat kenal pasti (orang) yang bertanggungjawab, kita ambil tindakan yang tegas,” kata beliau.

Kejadian disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Bahan Hakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

ACP Zakaria Pagan juga memberi jaminan orang ramai boleh menjalankan kegiatan seperti biasa dikawasan kejadian.