SEMENYIH :Seorang lelaki ditemui dalam keadaan terbaring serta parah di bahagian kepala di Taman Tasik Semenyih pada jam 6.10 pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa yang berusia 30 tahun itu ditemui hasil panggilan daripada orang awam.

Menurut Mohd Zaid, mangsa tidak mampu memberikan sebarang keterangan ekoran keadaannya.

“Mangsa telah dikejarkan ke hospital untuk menjalani rawatan dan tidak dapat memberikan sebarang keterangan berhubung kejadian.

Menurutnya lagi, mangsa seolah-olah terbabas apabila melihat kepada keadaan motosikalnya namun terdapat beberapa kemungkinan lain.

“Siasatan polis menjurus kepada dua elemen siasatan sama ada terdapat perlakuan jenayah atau kejadian berpunca daripada kemalangan,” katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan atau berhubung terus dengan Inspektor Farah Dayana di talian 019-657 5226.