KUANTAN: Polis Pahang menyiasat tohmahan yang dilemparkan kepada agensi penguatkuasaan di negeri ini berhubung operasi pemutihan tanah di Cameron Highlands, yang tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp sejak akhir bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya mengesan penularan semula video berdurasi 36 saat itu, yang dirakamkan semasa operasi memusnahkan tanaman di tanah milik kerajaan negeri pada 18 Dis 2019, dengan disertakan kenyataan bersifat fitnah dan hasutan.

"Video itu mendakwa ada amalan rasuah di Cameron Highlands dan pekebun yang menggaji warga asing terutamanya warga Myanmar secara haram perlu membayar kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa antara RM35 hingga RM40 sehari bagi setiap pekerja.

"Turut dinyatakan ialah polis memaksa pekebun memberi sumbangan bagi memastikan pekebun dapat menjalankan aktiviti tanpa gangguan dan dikatakan pihak berkuasa akan menghantar sekumpulan samseng digelar 'red army' untuk memusnahkan hasil kebun jika gagal membayar wang selain sebagai pengajaran kepada pekebun lain," katanya.

Ramli berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang SAC Mohd Yusri Othman dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh.

Semua kenyataan tersebut, tegas Ramli, bersifat tohmahan, dipercayai untuk memburukkan agensi penguatkuasaan dan kerajaan negeri, selain Pertubuhan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands juga telah menafikan berlakunya amalan seperti didakwa mahupun kewujudan 'red army' di situ.

Menjelas lanjut, Ramli berkata video yang memaparkan dua lelaki sedang mencantas sayur kubis adalah anggota penguatkuasaan yang bertugas membersihkan tanah itu selepas kerajaan negeri membatalkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) pada 18 Jan 2018 dan mengeluarkan notis pengosongan tanah.

Menurut Ramli operasi pertama dijalankan pada 28 Ogos 2019 yang turut melibatkan operasi mengeringkan dua kolam tadahan air kerana dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat, sebelum disusuli operasi kedua pada Disember tahun sama melibatkan tanah seluas lebih 4 hektar.

Katanya siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah serta di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, Ramli berkata polis telah mengeluarkan 11,112 saman sepanjang Op Selamat ke-18 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sejak 29 April lepas hingga semalam.

Katanya 9,565 daripada jumlah itu melibatkan enam kesalahan utama yang perlu diselesaikan di mahkamah.

Beliau berkata pada tempoh sama, sebanyak 561 kes kemalangan direkodkan dengan sembilan daripadanya ialah kemalangan maut yang melibatkan 10 kematian.

Polis turut melakukan 19 tangkapan melibatkan lelaki berusia antara 18 hingga 40 tahun atas pelbagai kesalahan termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol, memiliki kenderaan curi, memandu secara merbahaya serta kesalahan berkaitan dadah dan imigresen, katanya.

-- BERNAMA