KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung ciapan Twitter yang mengandungi kenyataan tidak benar mengenai senarai guru yang meninggal dunia selepas mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Perkara itu disahkan menerusi kenyataan media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan pada Sabtu malam, susulan laporan polis yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"PDRM mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh KKM berhubung ciapan pemilik akaun Twitter Khalid@Khalids mengandungi kenyataan tidak benar mengenai senarai 41 kematian guru disebabkan oleh vaksin (COVID-19).

"Ciapan yang dimuat naik pada 8 Oktober 2021 itu mempunyai 52 retweets, 1,168 quote tweets dan 70 likes mengundang pelbagai reaksi dan maklum balas warganet," katanya.

Ujar beliau siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," jelas beliau menerusi kenyataan yang sama.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya cakna dan peka dengan pihak yang cuba mengganggu kelancaran program vaksinasi yang giat dijalankan ketika ini.

"Orang ramai juga digesa untuk menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit untuk menyebabkan sebarang maklumat yang tidak dipastikan sumber kesahihannya sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara," katanya.

Tegas Abd Jalil, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang sengaja berbuat demikian.