KUALA LUMPUR: Polis menahan 11 lagi saksi bagi membantu siasatan kes majlis rumah terbuka Aidilfitri melibatkan sekumpulan lelaki berperwatakan wanita yang menari separuh bogel.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata enam daripada mereka direman termasuk seorang telah dibebaskan dengan jaminan kerana perlu menjalani pembedahan manakala lima lagi terdiri daripada pengunjung majlis itu.

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan dua lagi suspek dalam kes itu.

"Setakat ini, kami telah menahan pihak yang menganjur dan telah mengenal pasti penari yang terlibat dalam tarian separuh bogel itu.

"Polis juga telah mengenal pasti motif penganjuran majlis itu yang bertujuan menarik perhatian orang ramai," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Perlawanan Akhir Kejohanan Hoki Piala Ketua Polis Selangor Tahun 2022 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.

BACA: Polis reman penganjur rumah terbuka Aidilfitri, saji 'tarian separuh bogel'

Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan sekumpulan lelaki berperwatakan wanita yang menari separuh bogel dan membakar bunga api dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri di sebuah unit di I-City pada 27 Mei lepas.

-- BERNAMA