Polis tahan individu, rampas pelbagai minuman keras bernilai lebih RM170,000

Bernama
Ogos 11, 2023 14:31 MYT
Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 110 kotak pelbagai jenis minuman keras dipercayai tidak bercukai bernilai RM170,378.42 di sebuah gudang berhampiran Jalan Tanjung Laboh, tengah malam tadi. - Foto Polis Batu Pahat/Sinar Harian
BATU PAHAT: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 110 kotak pelbagai jenis minuman keras dipercayai tidak bercukai bernilai RM170,378.42 di sebuah gudang berhampiran Jalan Tanjung Laboh di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata lelaki berusia 39 tahun itu yang juga penjaga premis terbabit ditahan dalam serbuan kira-kira 12.30 tengah malam.
Katanya, turut dirampas sebuah telefon bimbit.
"Mahkamah Majistret Batu Pahat membenarkan tahanan reman terhadap individu itu selama empat hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA
#rampas minuman keras #Polis Daerah Batu Pahat #Jalan Tanjung Laboh #tidak bercukai