KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai kurang siuman selepas memecah masuk sebuah gereja St Francis Xavier di Keningau.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu lelaki terbabit turut merosakkan beberapa barangan serta peralatan sembahyang.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Polis Nor Rafidah Kasim berkata, saringan ujian air kencing juga mendapati suspek yang berusia 34 tahun itu negatif penyalahgunaan dadah.

“Suspek dan barang rampasan sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” kata beliau dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

Menurut Nor Rafidah, siasatan awal juga turut mendapati pintu pagar gereja tidak berkunci dan kamera litar tertutup (CCTV) juga tidak berfungsi sewaktu kejadian.