IPOH: Polis berjaya merampas lebih 5.6 kilogram dadah jenis ekstasi yang dicampur dalam serbuk minuman berperisa buah-buahan semasa serbuan di sebuah kondominium di Jalan Medah, Ipoh, pada Jumaat.

Kejayaan itu hasil tangkapan terhadap seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20 tahun bersama empat paket dadah jenis sama di pintu masuk lift kondominium berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pemeriksaan turut dijalankan ke atas sebuah kereta jenis Proton Saga yang diparkir di ruang letak kenderaan di mana 20 paket minuman berisi dadah yang disimpan dalam kotak di bahagian bonet kereta telah dirampas.

"Kita juga telah menyerbu rumah suspek di kondominium sama dan pemeriksaan di dalam rumah tersebut menjumpai 65 paket plastik yang disyaki berisi serbuk campuran dadah jenis ekstasi.

"Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 5,670.1 gram dengan nilai rampasan berjumlah RM187,000," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan tersebut pihaknya turut merampas beberapa paket plastik kosong dan alat membungkus dadah.

Beliau berkata, suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan dipercayai mendapat bekalan dadah dari luar Perak.

Yahaya berkata, risikan terhadap suspek telah dijalankan sejak sebulan lalu dan dadah tersebut dipercayai untuk pasaran Ipoh, khususnya di pusat-pusat hiburan.

"Kita juga percaya terdapat individu lain yang terlibat dalam kegiatan tersebut dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan rakan suspek yang masih bebas," ujarnya.

Suspek direman enam hari bermula Sabtu lalu hingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.