KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahahan seorang lelaki dan merampas heroin serta syabu seberat 45.93 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM1.17 juta dalam empat serbuan di sekitar Lembah Klang, Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di tempat letak kereta sebuah kondominium mewah di Jalan Bukit Palma 2, Kajang, pada 1.30 tengah hari, hasil maklumat risikan sejak awal bulan lepas.

"Polis menemukan dadah disyaki syabu seberat 1.05 kg dalam bungkusan plastik teh cina hasil pemeriksaan ke atas beg galas dibawa lelaki itu.

"Susulan penahanannya, lelaki itu membawa polis ke sebuah unit kondominium di kawasan sama lalu menemukan dadah disyaki heroin seberat 8.05 kg dan syabu seberat 3.12 kg di dalam sebuah bilik di kondominium itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Yong berkata lelaki itu turut membawa polis ke sebuah lagi kondominium mewah di Taman Teknologi Mint, Bangi dan menemukan dadah disyaki syabu seberat 21.1 kg dan heroin seberat 12.61 kg.

"Lelaki itu kemudian membawa pihak polis ke sebuah rumah teres dua tingkat di Seri Kembangan dan menemukan wang tunai berjumlah RM60,520," katanya.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati sindiket itu menyewa kondominium mewah untuk dijadikan stor penyimpanan dadah dengan kadar RM1,200 hingga RM1,800 sebulan.

Beliau berkata lelaki itu direman hingga 26 Okt ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihaknya sedang mengesan saki-baki ahli sindiket itu yang masih bebas.

-- BERNAMA