TANJUNG MALIM: Polis berjaya memberkas seorang lelaki yang cuba menyeludup 60 kilogram daun ketum merentas negeri dalam pemeriksaan di dalam sebuah kereta di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Behrang arah selatan, dekat sini, pada malam Sabtu.

Lelaki berusia 53 tahun itu dikatakan dalam perjalanan dari Kedah ke Selangor.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11 malam tadi oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan tugas Pemantauan Pematuhan Ops COVID-19 setelah pergerakan rentas negeri dibenarkan.

Menurutnya, dalam pemeriksaan itu, pihak polis telah menjumpai tujuh guni berisi daun, disyaki daun ketum dengan berat lebih kurang 60 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2,400.

“Hasil semakan lanjut mendapati tangkapan ini masih tidak lengkap dos vaksin tetapi telah membuat pergerakan merentas negeri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, satu kompaun bernilai RM2,000 telah dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 P:U (A) kerana merentas negeri tanpa vaksinasi lengkap.

Sulizmie Affendy berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

Menurutnya, suspek telah direman empat hari bermula 17 hingga 20 Oktober dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Meskipun rentas negeri telah dibenarkan oleh kerajaan, PDRM IPD Muallim ingin mengingatkan dan menasihati orang ramai supaya tidak leka atau mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Pastikan telah lengkap dua dos vaksin sebelum membuat pergerakan dan bersama-samalah kita menjaga diri serta ahli keluarga daripada dijangkiti virus COVID-19,” ujarnya lagi.