SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menendang dan membaling batu terhadap dua ekor kucing di hadapan sebuah kedai di Semeling, dekat sini, semalam.

Terdahulu, perbuatan khianat suspek itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) pada jam 1.09 pagi Sabtu, menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan.

Beliau berkata, polis menerima laporan daripada pemilik premis terbabit selepas melihat rakaman berkenaan.

“Suspek ditahan di rumahnya di Kampung Pengkalan Merbok jam 1.29 petang Isnin. Hasil siasatan awal, suspek mendakwa mengalami gangguan emosi kerana tidak berkerja.

"Siasatan ke atas ahli keluarga suspek mendakwa, suspek sebelum ini seorang pencinta kucing dan banyak memelihara haiwan itu di rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Zaidy berkata, kucing yang diseksa suspek telah diambil Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan diberikan rawatan.

Katanya, suspek berusia 27 itu akan direman di mahkamah hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat terhadap haiwan, yang memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, yang membawa denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Menerusi rakaman CCTV yang tular, kelihatan seorang lelaki yang memandu Perodua Bezza berwarna putih melakukan kekejaman terhadap dua ekor kucing di hadapan sebuah kedai.