Polis tahan pengedar di Gunung Semanggol, rampas dadah bernilai lebih RM100,000

Abd Razak Mohd Ali
April 28, 2021 09:15 MYT
Pemeriksaan lanjut ke atas lelaki berusia 33 tahun itu telah menemui 304 paket plastik pelbagai warna mengandungi dadah seberat 6,802 gram. - Gambar/ Facebook Polis Perak
IPOH: Polis berjaya memberkas seorang pengedar dan merampas 6.8 kilogram dadah dalam serbuan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Bagan Serai, semalam.
Operasi oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak jam 6.10 petang itu dilakukan hasil risikan dan maklumat orang awam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lelaki berusia 33 tahun itu telah menemui 304 paket plastik pelbagai warna mengandungi dadah seberat 6,802 gram.
Menurutnya, nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM121,600.
"Dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang digunakan oleh lelaki terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara masyarakat dengan agensi penguat kuasa dan kita akan terus memperhebatkan operasi pembanterasan aktiviti penagihan, penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini dari semasa ke semasa," ujarnya.
#pengedar dadah #ditahan #R&R Gunung Semanggol #PLUS #lebuh raya #Myvi #Perak #Ketua Polis Perak #Mior Faridalathrash Wahid