KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang dipercayai menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, sudah ditahan polis.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata suspek direman selama tiga hari bermula hari ini.

“Suspek kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan siasatan masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Hina Islam | DBKL gantung operasi kelab komedi di TTDI

Difahamkan, wanita berusia 28 tahun itu ditahan pada pukul 10.45 malam di Taman Jaya, Jalan Gasing, di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, PDRM membuka kertas siasatan berhubung perkara itu susulan penularan video menunjukkan seorang wanita menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi.

Polis turut menerima laporan berhubung rakaman video insiden itu yang menjadi tular pada Sabtu.

Video tular berdurasi 50 saat itu memaparkan tindakan wanita berkenaan yang menanggalkan tudung dan baju kurung sebelum mengeluarkan kenyataan yang dipercayai menghina Islam, yang mendapat kecaman banyak pihak.

Noorsiah dilapor berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan atau niat jahat memudaratkan keadaan harmoni.

“Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.