KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu merekodkan kutipan saman berjumlah RM6.09 dalam tempoh empat hari menerusi tawaran diskaun saman trafik sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata bermula Khamis lepas hingga 8 malam tadi, sebanyak 371,042 saman trafik atas pelbagai kesalahan telah dilunaskan orang ramai di kaunter bayaran saman trafik seluruh Ibu Pejabat Daerah Polis Terengganu.

"Sejumlah 32,129 orang hadir membuat bayaran di kaunter bermula dari hari pertama pelaksanaan tawaran diskaun sehingga kaunter ditutup pada pukul 6 petang semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rohaimi berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu menasihati orang ramai agar membuat perancangan untuk menyelesaikan saman trafik dan tidak menunggu pada saat akhir bagi mengelak berlaku kesesakan semasa mengunjungi kaunter saman kelak.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata tempoh tawaran diskaun pembayaran saman yang dijadual berakhir semalam, telah dilanjutkan sehingga 31 Dis ini.

Katanya hal ini kerana PDRM menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai terhadap tawaran diskaun saman berkenaan.

-- BERNAMA