KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan orang awam yang mendakwa terserempak dengan seekor harimau di kawasan perumahan Kemensah Heights dekat sini, pada tengah hari Jumaat.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, saksi telah membuat laporan di Balai Polis Melawati pada jam 12.40 tengah hari.

“Sehubungan itu, pihak polis telah menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor untuk membantu usaha mengesan harimau tersebut.

“Jam 4 petang tadi, pihak Perhilitan Selangor yang sampai ke tempat kejadian dan sudah berusaha menjejak harimau terbabit, tetapi tidak berjaya memandangkan maklumat diperolehi tidak begitu jelas.

“Pihak Perhilitan juga tidak menemui sebarang jejak ataupun kesan tapak kaki haiwan liar tersebut,” jelas Farouk.

Bagaimanapun, katanya Perhilitan masih lagi berada di tempat kejadian dalam usaha mengesan harimau terbabit.

Mengulas dakwaan harimau tersebut terlepas Zoo Negara, Farouk menegaskan tiada laporan harimau terlepas dari premis tersebut.

Beliau juga menggesa agar orang ramai yang terserempak atau mempunyai sebarang maklumat agar tampil untuk memberikan kerjasama.