KUALA LUMPUR:Polis menerima laporan mengenai pencemaran bau akibat tumpahan minyak di alur sungai dekat Jalan KB1/10 di Kampung Baru Balakong, Kajang.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, laporan dibuat seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, pada Selasa.

"Pengadu membuat pemeriksaan di kawasan tersebut dan mendapati terdapat minyak hitam yang terapung dikesan di atas permukaan alur air dari kawasan perumahan ke sungai dan mengesyaki ia perbuatan sabotaj.

"JSJ Selangor telah pergi ke tempat kejadian bersama tiga agensi lain iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Negara (SPAN), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Indah Water Konsortium (IWK).

"Beberapa sampel minyak bercampur air diambil untuk diuji kandungan tersebut bagi tujuan siasatan dan pendakwaan kelak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata, kes berkenaan disiasat JSJ Selangor di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadzil menyatakan, JSJ Selangor telah mengadakan mesyuarat bersama beberapa agensi penguatkuasaan berkenaan isu air pada 20 Oktober lepas.

"Kami sepakat menjalankan siasatan dan tindakan secara bersepadu bagi memastikan penguatkuasaan, siasatan dan pendakwaan dapat dibuat secara keseluruhan, demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat negeri Selangor khasnya," ujarnya.